ANGKASA Sarawak, PAMS Jalin Kerjasama Strategik Jayakan ‘Torque of Borneo 2026’

KUCHING, 3 Februari – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Negeri Sarawak menyambut baik inisiatif kerjasama strategik bersama Pertubuhan Pembangunan Masyarakat Melayu Sarawak (PAMS) bagi penganjuran acara antarabangsa, Torque of Borneo 2026. Perkara tersebut dibincangkan dalam satu kunjungan hormat oleh barisan kepimpinan PAMS kepada ANGKASA Sarawak yang berlangsung di pejabat ANGKASA Sarawak, hari ini.

Program Torque of Borneo 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 3 Mei 2026 bertempat di perkarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), merupakan acara berskala besar yang bakal menghimpunkan komuniti kreatif dan teknikal, peminat automotif dan permotoran, penggiat seni kreatif dan gaya hidup. Peserta dari luar negara juga dijemput sama seperti Kalimantan Barat (Pontianak), Brunei, Singapura dan juga dari Semenanjung Malaysia.

Pengerusi ANGKASA Sarawak, Encik Wan Azizan bin Wan Zainal Abidin, menyatakan penglibatan koperasi dalam program ini adalah peluang keemasan bagi entiti perniagaan koperasi untuk meluaskan rangkaian dan terlibat secara aktif dalam ekosistem ekonomi negeri. Selain itu Angkasa juga mengesyorkan agar Koperasi PAMS turut mengambil bahagian untuk bersama-sama dalam menjayakan  Karnival Jualan Rahmah Madani (KJRM) pada hari tersebut.

“Kerjasama ini bukan sekadar penganjuran acara, malah ia membuka ruang niaga kepada vendor tempatan termasuk koperasi memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka,” ujar beliau.

Selain automotif, program ini dijangka memberi impak positif kepada rantaian nilai ekonomi Sarawak termasuk sektor perhotelan, inap desa (homestay), industri makanan, logistik, serta perkhidmatan sokongan yang lain.

Satu pembentangan terperinci mengenai pengisian program telah disampaikan oleh Tuan Shirajuddin bin Bolhi, selaku Pengarah Projek Torque of Borneo 2026.

Rombongan PAMS telah diketuai oleh Presidennya, Tuan Ikeram bin Yan. Turut serta dalam kunjungan tersebut ialah Puan Masmanis binti Mohd Yusof (Penolong Setiausaha Agung); Puan Jumatia Hamdan (Pengerusi Biro Kebajikan); Encik Ikhwanizam dan Cik Lieyana Lamat.

Manakala di pihak ANGKASA Sarawak, sesi tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha ANGKASA Sarawak, Encik Mohamad Mortadza bin Mantrang; Pengurus Kanan, Encik George Aiman Milin, serta Pegawai Modal Insan, Cik Shamsiah Mahli.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *