Kuching, 13 Julai 2026











Keadaan bilik bagi proses relaksasi antara Therapist dan pelanggan. 
Antara praktikum yang dijalankan di dalam kelas.
Senaman dijalankan pada setiap jam 2 petang bagi melegakan ketegangan mengikuti kelas serta membuat semua peserta lebih segar.
K





Tiga antara peserta pilihan yang dapat hadiah Dr Masmanis binti Mohamed Yusof, Puan Clarice serta Encik Philip Dreba yang menunjukkan komitmen yang tinggi selama 7 hari berlangsung kursus.
Kursus ini bermula pada 13hb Julai 2026 dan berakhir pada 19hb Julai 2026. Kursus telah dijalankan di Community Service Sarawak Centre (CSSC), Padungan, Kuching oleh Dr Benfadzil Md Salleh dari Benfadzil Academy. Seramai kira-kira 30 orang telah mengikuti kursus ini termasuk juga 4 orang pegawai dari KPWK. Kursus ini bernilai RM8,500.00 bagi setiap peserta.Ianya dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, Sarawak. Kursus Kesihatan Mental berasaskan Hypnotherapy telah memberi pendedahan yang sangat baik kepada semua pesertanya. Walaubagaimanapun untuk kursus yang lebih mendalam (proses mendalami masalah pelanggan di bawah minda separa sedar) memerlukan 14 hari untuk lanjutan dan 3 hari untuk ujian keterampilan dan pengiktirafan.
Kursus ini merangkumi
Hari 1 – Asas Sokongan Kesihatan Mental Komuniti Sarawak
Hari 2 – Asas Hypnotherapy, Rapport dan Bahasa Teraputik
Hari 3 – Relaksasi, Grounding dan Penenangan Emosi
Hari 4 – Cadangan Positif, Sokongan Emosi dan Pendekatan
Hari 5 – Aplikasi Kes: Stress, Kebimbangan, Konflik dan Keletihan Emosi
Hari 6 – Red Flag, Rujukan, Dokumentasi Asas dan Paktikum Berpandu
Hari 7 – Hypnotherapy Komuniti – praktikum serta rubik plan dan penutup
Selain itu 3 buah buku iringan juga diberikan iaitu Hypnotherapy for Mental Health Practitioners, STRESS – Understanding, Experiencing & Overcoming the Invisible Force serta Buku Iringan Hypnotherapy 7 hari -Panduan Lengkap Latihan telah diberikan kepada setiap peserta.
UCAPAN PERASMIAN PEMBUKAAN
PROGRAM LATIHAN SOKONGAN KESIHATAN MENTAL KOMUNITI SARAWAK BERASASKAN HIPNOTERAPI
Oleh:
Yang Berbahagia Dr. Ikeram bin Yan
Presiden Pertubuhan Pembangunan Masyarakat Melayu Sarawak (PAMS)
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam Sarawak Maju Makmur.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama hadir dalam majlis perasmian Program Latihan Sokongan Kesihatan Mental Komuniti Sarawak Berasaskan Hipnoterapi pada hari yang penuh bermakna ini.
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Pertubuhan Pembangunan Masyarakat Melayu Sarawak (PAMS), Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, para tenaga pengajar, urus setia, rakan srategik seperti CSSC serta semua peserta yang telah meluangkan masa dan memberikan komitmen untuk mengikuti program ini.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
Kesihatan mental bukan lagi satu isu yang boleh dipandang ringan. Dalam dunia yang semakin mencabar, tekanan hidup, kebimbangan, keletihan emosi dan pelbagai cabaran sosial memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, pekerjaan mahupun latar belakang.
Sehubungan itu, Pertubuhan Pembangunan Masyarakat Melayu Sarawak (PAMS) amat menyokong usaha murni seperti ini yang bertujuan melahirkan lebih ramai individu yang mempunyai kemahiran memberi sokongan awal kepada mereka yang memerlukan. Saya percaya setiap peserta yang mengikuti latihan ini akan menjadi ejen perubahan dalam komuniti masing-masing.
Program intensif selama tujuh hari ini bukan sekadar memberi ilmu teori, malah melengkapkan peserta dengan kemahiran praktikal seperti membina hubungan (rapport), mendengar secara aktif, teknik grounding dan relaksasi, komunikasi terapeutik, etika bantuan awal, mengenal pasti tanda-tanda amaran serta kaedah rujukan yang betul.
Hadirin yang dihormati,
Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada Dr. Benfadzil dan seluruh pasukan yang telah memperkenalkan pendekatan hipnoterapi sebagai salah satu kaedah sokongan yang beretika dan berstruktur dalam membantu meningkatkan kesejahteraan emosi masyarakat. Semoga ilmu yang dikongsikan sepanjang program ini dapat dimanfaatkan dengan penuh tanggungjawab dan profesionalisme.
PAMS sentiasa komited untuk memperkasakan pembangunan masyarakat bukan sahaja dari aspek ekonomi dan pendidikan, malah kesejahteraan mental, sosial dan kekeluargaan. Masyarakat yang sihat mentalnya akan melahirkan keluarga yang harmoni, komuniti yang penyayang dan negeri yang lebih maju serta sejahtera.
Kepada semua peserta, gunakan peluang ini sebaik-baiknya. Hadirlah dengan hati yang terbuka, belajar dengan bersungguh-sungguh dan amalkan segala ilmu yang diperoleh demi memberi manfaat kepada masyarakat di sekeliling kita.
Akhir kata, saya mengucapkan tahniah sekali lagi kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga segala usaha dan pengorbanan kita mendapat keberkatan dan ganjaran daripada Allah SWT.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya, Dr. Ikeram bin Yan, Presiden Pertubuhan Pembangunan Masyarakat Melayu Sarawak (PAMS), dengan sukacitanya merasmikan Program Latihan Sokongan Kesihatan Mental Komuniti Sarawak Berasaskan Hipnoterapi bagi tahun 2026.
Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.
dan
UCAPAN PENUTUPAN PERASMIAN
YANG BERBAHAGIA DR. IKERAM BIN YAN
PRESIDEN PERTUBUHAN PEMBANGUNAN MASYARAKAT MELAYU SARAWAK
MAJLIS PENUTUPAN
KURSUS KESIHATAN MENTAL BERASASKAN HYPNOTHERAPY
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, kita berjaya menamatkan Kursus Kesihatan Mental Berasaskan Hypnotherapy yang telah berlangsung dari 13 hingga 19 Julai 2026 dengan jayanya.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti atas sokongan dan pembiayaan yang telah diberikan sehingga kursus ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat kepada semua peserta.
Ucapan penghargaan juga ditujukan kepada Benfazil Academy dan CSSC atas kerjasama, komitmen serta kepakaran yang telah dicurahkan sepanjang penganjuran bengkel ini. Semoga kerjasama strategik seperti ini dapat diteruskan demi melahirkan lebih ramai individu yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang kesihatan mental.
Kepada semua peserta, saya mengucapkan tahniah atas kesungguhan, disiplin dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang tujuh hari mengikuti bengkel ini. Saya berharap segala ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh bukan sahaja dimanfaatkan untuk pembangunan diri sendiri, malah dapat dikongsi dan diaplikasikan bagi membantu keluarga, masyarakat dan mereka yang memerlukan sokongan emosi serta kesejahteraan mental.
Kesihatan mental merupakan satu aspek yang amat penting dalam membentuk masyarakat yang sejahtera, produktif dan berdaya tahan. Justeru, saya berharap para peserta akan menjadi ejen perubahan yang mampu menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental secara beretika dan bertanggungjawab.
Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan kursus ini. Semoga segala usaha dan sumbangan yang diberikan mendapat ganjaran yang sebaik-baiknya daripada Allah SWT.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan penutupan Kursus Kesihatan Mental Berasaskan Hypnotherapy bagi tahun 2026.
Sekian, wabillahi taufik wal hidayah.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
