KUCHING, 30 Januari – Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi, berkenan menghadiri Majlis Kesyukuran sempena Ulang Tahun Kelahiran Peribadi ke-80 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang berlangsung di Surau Astana, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Sarawak, malam ini. Tuan Presiden Tuan Ikeram Yan dan isteri juga sama hadir menerima jemputan dari pihak Astana.

Ketibaan Tun Pehin Sri dan Toh Puan pada jam 6.50 petang disambut oleh YBhg. Dato’ Sri Haji Syed Hamzah bin Syed Paie, Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak; Tuan Samuel Simon, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak; serta pegawai-pegawai kanan Astana Sarawak.
Turut mengiringi TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan ialah anakanda Sharifah Fariah bersama suami Encik Muhammad Syukri Mohd Draim, serta Sharifah Nong-Jasima bersama suami Encik Muhammad Nur Hakeem Yusop.
Majlis Kesyukuran ini juga diserikan dengan kehadiran dif-dif jemputan yang di antaranya adalah ibu saudara TYT Tun Pehin Sri, Puan Hajah Sharifah Rashidah binti Tuanku Abdul Rahman dan suami Tuan Haji Zakaria bin Mat Taib, anak-anak saudara, sepupu-sepupu dan keluarga besar lainnya dari Pertubuhan Ansab, Persatuan Asyraaf dan Pertubuhan Iqbal serta seluruh warga kerja Astana Sarawak. Majlis dimulakan dengan solat fardu Maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Yaasin dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Sahibus Siyadah Ustaz Haji Mual bin Haji Suaud, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak.
Beliau kemudiannya menyampaikan tazkirah bertajuk “Syaaban Diberkati, Ramadan Dinanti” sebelum solat fardu Isyak didirikan dan diimamkan oleh Ustaz Wan Abdillah bin Wan Ahmad, Imam Masjid Al Hakim Unigarden, Kota Samarahan. Setelah menunaikan solat Isyak, TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan berkenan meninjau ke reruai yang menyajikan pelbagai juadah tempatan popular, antaranya pelbagai jenis cucur, apam balik dan suntong tutok, yang mencerminkan keunikan warisan kulinari tempatan Sarawak. Sebelum jamuan makan malam dimulakan, TYT Tun Pehin Sri berkenan memotong kek ulang tahun kelahiran ke-80 serta pulut kuning sempena tahun kedua pelantikan TYT sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Usai jamuan makan malam, TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan berkenan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dan anak-anak yatim dari sekitar Bahagian Kuching yang diundang khas bagi memeriahkan lagi majlis yang penuh bermakna ini. TYT Tun Pehin Sri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh ahli keluarga, sahabat handai, warga Astana Sarawak serta semua pihak yang telah bersama-sama mendoakan kesejahteraan beliau. TYT Tun Pehin Sri turut menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia usia, kesihatan serta peluang untuk terus berkhidmat kepada negeri dan rakyat Sarawak yang dikasihi.
May be an image of one or more people, dais and text that says 'KUCHING 30 JANUARI KUCHING|30JANUARI2026 2026'

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *