Laporan Program Bicara Ilmu Eko-Pelancongan Koperasi: Dari Alam ke Ekonomi Komuniti

Pada 7 Julai 2026, telah berlangsung Program Bicara Ilmu Eko-Pelancongan Koperasi: Dari Alam ke Ekonomi Komuniti bertempat di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK). Program yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Institut Koperasi Malaysia (IKMa) ini bertujuan memperkukuhkan kefahaman mengenai pembangunan eko-pelancongan melalui koperasi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi komuniti, khususnya di Sarawak.

Program bermula seawal jam 8.00 pagi dengan sesi pendaftaran peserta serta jamuan minum pagi. Kehadiran peserta terdiri daripada wakil-wakil koperasi, agensi kerajaan, usahawan, penggiat pelancongan dan masyarakat yang berminat untuk mendalami potensi eko-pelancongan berasaskan komuniti.

Sesi pertama dimulakan pada jam 9.00 pagi menerusi pembentangan bertajuk “Hala Tuju Eko-Pelancongan Sarawak 2026: Peluang Koperasi Komuniti” yang disampaikan oleh Puan Yusfida binti Khalid, wakil daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak. Beliau menerangkan dasar dan perancangan kerajaan negeri dalam memperkasakan sektor eko-pelancongan serta peluang luas yang boleh diterokai oleh koperasi sebagai pemacu pembangunan ekonomi masyarakat setempat.

Program diteruskan dengan tiga sesi perkongsian pengalaman oleh koperasi-koperasi yang telah berjaya melaksanakan projek eko-pelancongan berasaskan komuniti.

Sesi pertama disampaikan oleh Encik Sudaryo Osman daripada Koperasi Keluarga Sumiran Kuching Berhad, yang berkongsi pengalaman membangunkan aktiviti pelancongan berasaskan komuniti dengan melibatkan penduduk tempatan sebagai penggerak utama.

Seterusnya, Encik Juis anak Migan daripada Koperasi Jagoi Duyoh Bau Berhad membentangkan kejayaan koperasi mereka dalam memanfaatkan keunikan budaya masyarakat dan keindahan alam semula jadi sebagai produk pelancongan yang mampu menjana pendapatan kepada komuniti.

Sesi terakhir pula disampaikan oleh Encik Shahradhi Libiki daripada Koperasi Keluarga Libiki Kuching Berhad, yang berkongsi pendekatan pembangunan pelancongan lestari melalui penglibatan aktif ahli koperasi serta kerjasama dengan pelbagai pihak.

Selepas selesai ketiga-tiga sesi perkongsian, peserta diberi peluang mengemukakan soalan dalam Sesi Soal Jawab. Perbincangan berlangsung dengan aktif apabila para peserta bertukar-tukar pandangan mengenai cabaran, strategi pemasaran, pengurusan destinasi pelancongan, pembiayaan serta usaha memastikan kelestarian alam sekitar dalam pembangunan eko-pelancongan.

Pada jam 12.30 tengah hari, berlangsung Majlis Perasmian yang dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku, diikuti bacaan doa.

Ucapan aluan telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Datuk Mohd Ali bin Mansor, Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia, yang menekankan kepentingan koperasi sebagai platform pembangunan sosioekonomi rakyat serta peranannya dalam memperkasa sektor eko-pelancongan negara.

Majlis kemudiannya dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Dr Micheal Musin, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak. Dalam ucapan perasmian beliau, beliau menegaskan bahawa eko-pelancongan merupakan sektor strategik yang mampu menjana peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan komuniti luar bandar serta memelihara warisan alam dan budaya Sarawak. Beliau turut menggesa lebih banyak koperasi mengambil peluang menceburi bidang ini melalui inovasi, kerjasama strategik dan pembangunan mampan.

Majlis diteruskan dengan penyampaian Sijil PASKOP, simbolik penyampaian sijil penyertaan kepada peserta serta penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada para penceramah dan tetamu kehormat yang telah menjayakan program tersebut.

Program berakhir pada jam 1.30 petang dengan jamuan makan tengah hari yang turut menjadi medan jaringan kerjasama antara peserta, wakil koperasi dan agensi kerajaan.

Secara keseluruhannya, Program Bicara Ilmu Eko-Pelancongan Koperasi: Dari Alam ke Ekonomi Komuniti telah berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan keyakinan peserta mengenai potensi eko-pelancongan sebagai satu sektor ekonomi yang mampu memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui gerakan koperasi. Program ini juga membuka ruang kepada perkongsian amalan terbaik, pembentukan rangkaian kerjasama serta memperkukuhkan komitmen semua pihak dalam menjadikan koperasi sebagai pemacu pembangunan ekonomi yang mampan di Sarawak dan Malaysia.

Turut hadir dari KoPAMS ialah Dr Masmanis Mohd Yusof dan Puan Maria Salim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *