Berita Program Kebajikan

KUCHING, 14 Mac – Pertubuhan Pembangunan Masyarakat Melayu Sarawak (PAMS) dengan kerjasama Yayasan Kepimpinan Albait (Barber) oleh Pengurusnya Encik Fahmi Hakim Muhammad Nawawi,  menganjurkan program menggunting rambut secara percuma khusus untuk anak-anak daripada golongan asnaf dan keluarga B40.

Program kebajikan ini berlangsung pada 14 Mac 2026 (Sabtu) jam 11.00 pagi bertempat di premis Yayasan Kepimpinan Albait (Barber) di Jalan Merdeka, Kuching.

Menurut Presiden PAMS, Ikeram bin Yan, program ini merupakan salah satu inisiatif kebajikan pihak pertubuhan dalam membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan, di samping memberi peluang kepada anak-anak untuk tampil lebih kemas dan ceria menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

“Melalui program ini, kami berharap anak-anak daripada golongan asnaf dan keluarga B40 dapat merasai kegembiraan serta meningkatkan keyakinan diri mereka,” katanya.

Sehubungan itu, pihak PAMS telah bekerjasama dengan pihak sekolah,  Encik Jesi Jamri Guru Besar Sekolah Kebangsaan Rancangan Perumahan Rakyat (SKRPR), Jalan Astana, yang tergolong dalam kategori miskin tegar, asnaf atau B40 agar menyertai program ini. Seramai 15 orang murid lelaki mengambil bahagian dalam program tersebut.

Program ini juga mencerminkan komitmen berterusan PAMS dan Yayasan Kepimpinan Albait dalam melaksanakan aktiviti kebajikan serta menyantuni masyarakat yang memerlukan di sekitar Kuching.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *