“EKONOMI HIJAU: STRATEGI BAHARU MEMPERKASA EKONOMI KOPERASI SARAWAK”
Tarikh: 5 November 2026 (Khamis)
Masa: 7.30 pagi – 1.00 petang
Tempat: Hotel Imperial, Kuching, Sarawak
Penganjur: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
1.0 PENDAHULUAN
Program Bicara Ilmu yang bertemakan “Ekonomi Hijau: Strategi Baharu Memperkasa Ekonomi Koperasi Sarawak” telah diadakan pada 5 November 2026 bertempat di Hotel Imperial, Kuching, Sarawak.
Program ini merupakan satu inisiatif perkongsian ilmu dan pendedahan kepada gerakan koperasi di Sarawak mengenai kepentingan mengadaptasi konsep ekonomi hijau sebagai strategi baharu dalam memperkukuh pembangunan ekonomi, meningkatkan daya saing serta mewujudkan peluang perniagaan yang mampan.
Penganjuran program ini turut memberi penekanan terhadap kepentingan pengurusan sumber secara berhemah, kelestarian alam sekitar, penggunaan teknologi hijau serta penerokaan bidang ekonomi baharu yang berpotensi memberikan manfaat kepada koperasi dan masyarakat setempat. Program ini telah dirasmikan penutupannya oleh YB Datuk Dr haji Hazland bin Haji Abg Hipni, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak.
2.0 OBJEKTIF PROGRAM
Antara objektif utama program adalah:
1. Memberikan pendedahan mengenai konsep dan kepentingan ekonomi hijau dalam pembangunan ekonomi koperasi.
2. Meningkatkan kesedaran koperasi terhadap kepentingan pembangunan ekonomi yang seimbang antara keuntungan, kesejahteraan masyarakat dan pemeliharaan alam sekitar.
3. Mengenal pasti peluang ekonomi baharu melalui pengurusan sisa, tenaga solar dan penggunaan sumber secara lestari.
4. Menggalakkan koperasi meneroka bidang perniagaan hijau yang berpotensi menjana pendapatan serta meningkatkan taraf ekonomi anggota.
5. Memperkukuh peranan koperasi sebagai pemangkin pembangunan ekonomi komuniti di Sarawak.
3.0 PELAKSANAAN PROGRAM
Program dimulakan pada jam 7.30 pagi dengan pendaftaran peserta dan jamuan minum pagi.
Sesi perkongsian ilmu kemudiannya berlangsung dengan tiga pembentangan utama seperti berikut:
3.1 SESI 1: Ekonomi Hijau dan Hala Tuju Pembangunan Sarawak: Peluang dan Peranan Koperasi dalam Pembangunan Lestari
Penceramah: Ts. Dr. Nurleyna bt Yunus
Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty).
Sesi pertama membincangkan konsep ekonomi hijau serta hala tuju pembangunan Sarawak yang menekankan aspek kelestarian alam sekitar dan pembangunan ekonomi jangka panjang.
Perkongsian ini memberi gambaran tentang peluang yang boleh diterokai oleh gerakan koperasi dalam menyokong agenda pembangunan lestari negeri Sarawak.
Koperasi berpotensi memainkan peranan penting melalui pelaksanaan aktiviti ekonomi yang mesra alam, penggunaan sumber secara cekap serta penglibatan dalam projek pembangunan yang memberikan manfaat kepada masyarakat.
3.2 SESI 2: Daripada Sisa kepada Nilai: Strategi Pengurusan Sisa untuk Memperkasa Ekonomi Koperasi
Penceramah: Encik Sanusi bin Sargini
Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA).
Sesi kedua memberi tumpuan kepada pendekatan pengurusan sisa yang bukan sahaja bertujuan mengurangkan pencemaran alam sekitar, malah berpotensi dijadikan sumber ekonomi baharu.
Konsep menukar sisa kepada nilai ekonomi membuka ruang kepada koperasi untuk meneroka aktiviti seperti pengumpulan dan pengasingan bahan buangan, kitar semula, penghasilan produk berasaskan bahan terpakai serta pengurusan sisa pertanian.
Pendekatan ini boleh membantu koperasi mewujudkan sumber pendapatan tambahan di samping menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar.
3.3 SESI 3: Tenaga Solar Sebagai Sumber Ekonomi: Peluang dan Potensi untuk Koperasi Sarawak
Penceramah: Puan Nurhaziqah Mazelan
Solarvest Borneo Sdn. Bhd.
Sesi ketiga membincangkan potensi tenaga solar sebagai salah satu sumber tenaga boleh baharu yang mampu membuka peluang ekonomi kepada gerakan koperasi di Sarawak.
Penggunaan tenaga solar bukan sahaja membantu mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional, malah berpotensi mewujudkan peluang perniagaan melalui pemasangan sistem solar, penyelenggaraan, perkhidmatan berkaitan tenaga bersih serta kerjasama strategik dengan syarikat industri tenaga hijau.
Peluang ini wajar diberikan perhatian oleh koperasi sebagai salah satu bidang pelaburan dan aktiviti ekonomi masa hadapan.
4.0 MAJLIS PERASMIAN PENUTUP
Majlis penutupan program bermula pada jam 12.30 tengah hari dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku, diikuti bacaan doa.
Majlis diteruskan dengan ucapan aluan oleh Yang Berbahagia Datuk Basari bin Sarkun, Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia.
Seterusnya, ucapan perasmian penutupan telah disampaikan oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Hazland bin Abang Hipni, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil kepada wakil peserta dan penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan program.
Program berakhir dengan jamuan makan tengah hari pada jam 1.00 petang.
5.0 HASIL DAN IMPAK PROGRAM
Secara keseluruhannya, program ini memberikan nilai tambah dari aspek pengetahuan, kesedaran dan peluang penerokaan ekonomi baharu kepada gerakan koperasi di Sarawak.
Antara hasil dan impak yang dapat dikenal pasti ialah:
1. Peningkatan pengetahuan: Peserta mendapat pendedahan mengenai konsep ekonomi hijau dan kepentingannya dalam pembangunan ekonomi masa hadapan.
2. Peluang perniagaan baharu: Pengurusan sisa dan penggunaan tenaga solar dikenal pasti sebagai antara bidang yang mempunyai potensi untuk diterokai oleh koperasi.
3. Kesedaran terhadap kelestarian: Koperasi digalakkan mengamalkan pendekatan perniagaan yang mengambil kira kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
4. Pengukuhan peranan koperasi: Gerakan koperasi berpotensi menjadi rakan strategik dalam menyokong agenda pembangunan ekonomi hijau negeri Sarawak.
5. Peluang jaringan kerjasama: Program ini membuka ruang kepada hubungan dan kerjasama antara gerakan koperasi, agensi kerajaan serta pihak industri.
6.0 CADANGAN DAN SYOR SUSULAN
Bagi memastikan ilmu dan perkongsian yang diperoleh melalui program ini dapat diterjemahkan kepada tindakan, beberapa cadangan dikemukakan:
1. Menggalakkan koperasi mengenal pasti projek ekonomi hijau yang bersesuaian dengan keperluan dan kemampuan masing-masing.
2. Mewujudkan kerjasama antara koperasi dengan agensi kerajaan serta pihak swasta dalam bidang tenaga solar dan pengurusan sisa.
3. Mengadakan latihan dan bengkel lanjutan berkaitan keusahawanan hijau.
4. Memperluas penyertaan koperasi dalam aktiviti kitar semula dan ekonomi kitaran.
5. Meneroka peluang pembiayaan dan geran berkaitan projek kelestarian alam sekitar.
7.0 PENUTUP
Program Bicara Ilmu “Ekonomi Hijau: Strategi Baharu Memperkasa Ekonomi Koperasi Sarawak” merupakan satu platform perkongsian ilmu yang relevan dengan keperluan pembangunan ekonomi semasa.
Pengisian program yang merangkumi hala tuju ekonomi hijau, pengurusan sisa dan potensi tenaga solar …
Antara ahli KOPAMS yang hadir ialah Dr Masmanis Mohd Yusof, Setiausaha, Puan Maria Salim – Bendahari serta Ahli Lembaga Koperasi iaitu Dr Ikeram bin Yan dan Puan Jumatia Hamdan serta seorang ahli biasa Puan Noraida Along.







